Saturday, June 19, 2010

300 remaja Melayu salah laku seksual, seks bebas

Pengaruh rakan sebaya punca utama gejala: Kajian UPM

KUALA LUMPUR: Kajian terbaru Universiti Putra Malaysia (UPM) mendedahkan lebih 300 remaja Melayu di bandar dan luar bandar berusia antara 13 hingga 25 tahun mengakui terbabit dengan salah laku seksual dan gejala seks bebas, sehingga ada yang menggugurkan janin.

Lebih mengejutkan ,kira-kira 85 peratus daripada mereka yang melakukan perbuatan itu, bukan saja tidak kesal, malu atau takut dari segi dosa malah menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan.

Menurut kajian itu, mereka yang terjebak dengan gejala terbabit bukan disebabkan faktor tekanan akibat kegagalan institusi keluarga termasuk rumah tangga porak-peranda, sebaliknya tertarik dengan pengaruh rakan sebaya. Sebahagian besar mereka juga mengakui menerima pendidikan agama mencukupi.


Dapatan itu diperoleh daripada kajian enam bulan bertajuk ‘Keterlibatan Remaja Dalam Salah Laku Seksual’ dengan 400 responden ditumpukan kepada dua kumpulan sasaran di Lembah Klang dan juga kawasan luar bandar, iaitu pelajar sekolah menengah daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima serta remaja di bawah usia 25 tahun. Kajian itu siap sepenuhnya Disember lalu.


Pengarah Pusat Kokurikulum UPM yang mengetuai kajian itu, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata ada responden mengakui terdedah kepada ‘dunia seksual’ seawal sekolah rendah, termasuk muat turun gambar lucah melalui telefon bimbit, menonton video lucah dan melayari laman web pornografi.

Beliau yang memfokus kepada pembinaan modal insan, pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah dalam bidang tugasannya berkata, penggunaan bahasa serta isyarat lucah dalam komunikasi dan pergaulan harian bersama rakan sebaya pada usia begitu mentah juga menjadi amalan mereka.
“Lebih menyedihkan apabila yang menjadi keutamaan remaja terbabit dengan seks bebas itu ialah ‘buat selagi tidak mengandung’. Mereka langsung tidak mementingkan soal dosa seolah-olah agenda ketuhanan tiada dalam hidup.

“Ada responden yang menjawab mereka tahu perbuatan itu berdosa tetapi berkata ‘enjoy dulu, nanti taubatlah’. Ini bermakna remaja berkenaan ada pengetahuan dan kesedaran agama, tetapi ia tidak menyentuh jiwa mereka.

“Walaupun dapatan kajian di luar bandar dan Lembah Klang menunjukkan hasil lebih kurang sama, senario di luar bandar itu boleh dianggap lebih mengejutkan apabila ramai remajanya turut terjebak dengan gejala ini sedangkan kawasan berkenaan tidak mendapat pendedahan seperti di bandar raya,” katanya kepada Berita Harian.
pix_gal0
Mohammad Shatar berkata, kajian membabitkan jumlah seimbang dari segi responden lelaki dan perempuan itu dilakukan sebagai projek tahun akhir pelajarnya dengan menyenaraikan 25 aktiviti salah laku seksual daripada peringkat ‘ringan-ringan’ seperti meraba, bercium dan berpeluk hingga peringkat kes berat meliputi seks bebas serta menggugurkan janin.

Beliau berkata, hasil kajian juga mendapati ada beberapa faktor yang umpama ‘mencurah minyak ke dalam api’ yang menambah kepada gejala itu, termasuk kebebasan dan kepercayaan terlalu tinggi diberikan oleh ibu bapa kepada anak.

“Memang amat penting untuk memberi pendidikan agama secukupnya kepada anak, tetapi itu bukanlah jaminan kerana ia mesti dilengkapi pengawasan berterusan daripada ibu bapa. Jangan terlalu bersangka baik atau menjadikan penampilan luaran anak seperti dari segi cara berpakaian dan tingkah laku sebagai ukuran mutlak bahawa mereka selamat atau terhindar daripada pengaruh gejala seks ini.
“Pengaruh luar amat berkuasa terhadap remaja, lazimnya bukan daripada keluarga sendiri. Justeru, ibu bapa tetap perlu berhati-hati dengan menyimpan 50 peratus ketidakpercayaan terhadap anak, termasuk membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa.

“Selain itu, disyorkan ibu dan bapa melakukan ‘pemeriksaan fizikal’ yang sewajarnya dan secara berhemah terhadap anak perempuan dan juga anak lelaki dari semasa ke semasa demi memastikan mereka tidak menyembunyikan sebarang ‘tanda’ berkaitan.

“Dalam konteks ini, jangan mudah terpedaya dengan ideologi kebebasan peribadi dari Barat kerana ada ibu bapa harus mengetepikan elemen privasi demi menyelamatkan anak selagi tindakan yang diambil tidak melampaui batasan,” katanya.

sumber:klik sini

ulasan :

Dalam mendepani isu sosial yang makin menjadi-jadi dan semakin menjadi barah masyarakat Malaysia amnya dan bangsa Melayu khususnya. Semua pihak haruslah memainkan peranan yang amat penting. Baik pihak kerajaan, swasta, institusi keluarga dan semua individu.

Bagi saya, hukuman jenayah yang sedia ada sendiri masih gagal menginsafkan segelintir masyarakat yang terlibat dalam gejala sosial dan lain-lain . Mungkin disebabkan hukuman ini lahir daripada neraca pemikiran manusia yang nisbi dan relatif, jadi tidak menepati fitrah kemanusiaan manusia yang tidak dicipta oleh manusia; tetapi oleh “Tuhan” kepada manusia iaitu Allah SWT.

Saya melihat, jika benar pihak kerajaan dan msyarakat Malaysia termasuk pihak KPN sendiri ingin menangani gejala ini, kita seharusnya mengenal pasti “akar masalah” pada permasalahan ini. Pengenalpastian dan penanganan masalah ini secara tepat dan berhikmah pasti menelurkan natijah yang terbaik lagi sahih.

Bagi saya, “akar masalah” bagi gejala sosial ialah kurangnya didikan agama oleh semua pihak berwajib dan kita secara rendah diri termasuk JAKIM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), badan-badan dakwah (NGO), dan parti-parti politik (merujuk kepada UMNO dan PAS yang majoriti terdiri oleh masyarakat Islam) seharusnya menggembeleng tenaga dalam mendekati masyarakat awam melalui pendekatan beragama (Islam).


Selain itu, saya melihat sudah sampai masanya untuk Malaysia memperkenalkan Undang-Undang Islam sebagai undang-undang alternatif selain masih menggunakan Hukum Kanun Jenayah yang sedia ada. Dengan erti kata lain, Malaysia seharusnya berani mencuba dalam melaksanakan dwi-undang-undang Jenayah (Sivil dan Syariah Islamiyyah yang syumul) demi kepentingan setiap rakyat Malaysia dewasa ini.


Mungkin melalui pendekatan ini, masyarakat Malaysia yang diketahui umum terdiri daripada pelbagai rumpun kepercayaan, etnik dan budaya ini tidak terkejut (culture shock) dengan penerapan Islam sahih oleh pihak kerajaan.

Sebenarnya alternatif atau pelaksanaan dwi-Peraturan ini telah dilaksanakan oleh Kerajaan Turki sejak 1996; yang diketahui umum bahawa kondisi negara tersebut dihimpit oleh pelbagai batasan dogma sekular. Sesuatu yang menarik, bukan sahaja majoriti umat Islam memilih undang-undang alternatif ini (Syariah Islamiyyah), malah masyarakat bukan Islam turut cenderung pada Undang-Undang Islam.

Realiti ini melambangkan bahawa rata-rata rakyat Turki yang plural ini sudah melihat sendiri kebolehupayaan undang-undang alternatif ini (Syariah Islamiyyah) dalam membentuk jatidiri masyarakat Turki dan memelihara setiap nyawa rakyat Turki.

Semoga, semua pihak menilai perkara ini. Penyelesaian terbaik ialah melihat kepada “akar masalah” dalam satu-satu gejala, bukan menangani “natijah” masalah yang hanya meninggalkan impak sementara atau tidak kekal lama.

Tuesday, June 8, 2010

~JoM SerTai KeM BiNa InSaN~


berminat: sila klik sini